Friday, October 2, 2026

Ilmu dan Amal: Neraca yang Membentuk Manusia Seimbang



Pesanan Mizan 03 — Neraca Wasatiyah dalam Pembinaan Malaysia M.A.D.A.N.I.

Kehidupan kita di dunia kini dipenuhi dengan maklumat, perubahan dan pelbagai tuntutan, manusia bukan sekadar memerlukan lebih banyak ilmu, tetapi memerlukan ilmu yang membimbing kepada tindakan yang benar. Pada masa yang sama, amal dan aktiviti yang banyak juga belum tentu membawa perubahan sekiranya ia tidak dipandu oleh ilmu, hikmah dan nilai. Inilah antara persoalan penting yang dapat kita renungkan melalui gagasan Mizan al-‘Amal.

Ucapan Dasar WADAH Selangor menegaskan bahawa Mizan al-‘Amal bukan sekadar neraca untuk menilai hasil sesuatu pekerjaan. Ia juga merupakan kerangka untuk menilai manusia yang melakukan pekerjaan tersebut. Kebangkitan umat, misalnya, tidak seharusnya hanya diukur melalui bertambahnya program, besarnya organisasi atau banyaknya aktiviti, tetapi mesti bermula dengan pembinaan manusia yang mempunyai jiwa yang seimbang, akhlak yang luhur dan kemampuan menimbang setiap tindakan dengan neraca Allah SWT. 

Ilmu mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam. Namun, ilmu tidak seharusnya berhenti pada pengetahuan, hafalan atau kemampuan berhujah dan dikala itu, Ilmu itu tidak melahirkan amal. Ilmu sepatutnya membentuk cara kita melihat kehidupan, membuat pertimbangan dan mengambil tindakan. Seseorang mungkin mengetahui banyak perkara, tetapi persoalannya ialah, apakah ilmu itu menjadikan dirinya lebih berhikmah, lebih beradab dan lebih bermanfaat?

Ucapan dasar tersebut, menekankan bahawa Mizan al-‘Amal menimbang hubungan antara ilmu dan amal. Kehidupan seorang Muslim tidak boleh dipisahkan antara akidah, ibadah, akhlak, ilmu, amal, jasmani, rohani, emosi dan hubungan sosial. Apabila setiap unsur berada pada tempatnya, lahirlah insan yang lebih seimbang dari segi pemikiran, sahsiah dan tindakan. Maka, ilmu yang benar seharusnya membawa seseorang kepada perubahan. Ilmu membimbing amal. Amal membuktikan nilai ilmu.

Sebaliknya, semangat untuk melakukan kebaikan juga perlu disertai ilmu dan kefahaman. Amal yang tidak dipandu ilmu akan membuka ruang kesilapan dan kesalahan. Kita boleh menjadi sangat aktif, tetapi aktiviti yang banyak tidak semestinya menghasilkan perubahan yang mendalam. Kita boleh menganjurkan banyak program, tetapi persoalannya tetap sama iaitu apakah manusia yang kita bina melalui program tersebut?

Ucapan dasar WADAH Selangor mengingatkan bahawa gerakan dakwah tidak mahu melahirkan kader yang hanya berani tetapi tidak berhikmah, atau manusia yang luas ilmunya tetapi lemah amalnya. Kita juga tidak mahu melahirkan aktivis yang sangat aktif bekerja tetapi mudah dikuasai emosi, kepentingan diri atau keghairahan mendapatkan pengiktirafan. Sebaliknya, kita mahu melahirkan manusia yang berilmu tetapi rendah hati, berani tetapi beradab, aktif tetapi ikhlas, kritis tetapi adil, tegas pada prinsip tetapi luas rahmahnya dan di sinilah makna sebenar keseimbangan.

Mizan mengajar kita bahawa ukuran kejayaan bukan semata-mata pada berapa banyak yang kita lakukan tetapi yang lebih penting ialah, adakah apa yang kita lakukan berada pada tempatnya? Adakah ia berpandukan nilai yang benar? Adakah ia membawa maslahat? Maka ia bukan sekadar banyak, tetapi tepat. Huraian Mizan al-‘Amal dalam ucapan tersebut sebagai kerangka untuk menilai sama ada sesuatu pemikiran, keputusan dan tindakan berada pada tempatnya, menepati nilai yang benar dan membawa maslahat.

Ini memberikan satu perspektif penting kepada gerakan masyarakat. Kadangkala kita terlalu mudah mengukur kejayaan melalui jumlah program, jumlah peserta, populariti atau keterlihatan sesuatu aktiviti. Sedangkan perubahan manusia mungkin berlaku dalam bentuk yang lebih perlahan dan tidak selalu kelihatan. Mizan mengajak kita melihat lebih jauh daripada output kepada pembentukan manusia.

Masyarakat yang baik tidak terbina hanya melalui struktur, sistem atau institusi. Ia bermula dengan manusia. Membina manusia sebelum membina masyarakat. Ucapan dasar tersebut menegaskan bahawa pembinaan masyarakat MADANI mesti dimulakan dengan membina manusia yang memiliki keseimbangan jiwa. Manusia yang baik bukan sekadar manusia yang banyak mengetahui, tetapi manusia yang mampu mengurus kekuatan dalam dirinya dengan adil dan berhikmah. Inilah sebabnya Mizan al-‘Amal mempunyai makna yang lebih luas. Ia bukan sekadar persoalan “Apa yang telah kita lakukan?” Tetapi juga, “Manusia apakah yang sedang kita bina melalui apa yang kita lakukan?” Persoalan ini sangat penting untuk setiap individu, keluarga, institusi pendidikan dan gerakan masyarakat.

Ilmu, amal dan dalam konteks pembinaan Malaysia M.A.D.A.N.I., keseimbangan antara ilmu dan amal menjadi semakin penting. Kemajuan memerlukan ilmu. Perubahan memerlukan tindakan. Tetapi kedua-duanya perlu dipandu oleh nilai, adab, keadilan dan tanggungjawab. Ucapan dasar WADAH Selangor melihat pendekatan Fiqh al-Mizan sebagai satu kerangka untuk menimbang antara ilmu dan amal, kebebasan dan tanggungjawab, kemajuan dan nilai serta kepelbagaian dan perpaduan.

Maka, masyarakat MADANI bukan hanya masyarakat yang berpengetahuan atau maju dari sudut material. Ia juga perlu melahirkan manusia yang mampu menggunakan ilmu dengan hikmah, kebebasan dengan tanggungjawab, kemajuan dengan nilai dan kekuatan dengan keadilan. Akhirnya, Mizan al-‘Amal mengajak kita kembali kepada neraca.

Neraca untuk menilai ilmu kita, amal kita, niat kita, kesan tindakan kita dan yang paling penting, neraca untuk menilai manusia yang sedang kita bentuk kerana kebangkitan umat tidak bermula hanya dengan memperbanyak aktiviti. Ia bermula dengan membina manusia yang seimbang,manusia yang berfikir dengan ilmu, bertindak dengan adab dan menilai dirinya dengan kesedaran terhadap Allah SWT.

Maka, sebelum kita bertanya, “Berapa banyak yang telah kita lakukan?” Mungkin kita perlu bertanya terlebih dahulu, “Apakah ilmu telah membimbing amal kita?”, “Apakah amal telah membuktikan ilmu kita?” Dan akhirnya “Apakah manusia yang sedang kita bina melalui ilmu dan amal tersebut?” Itulah antara renungan yang dibawa oleh Pesanan Mizan 03. Ilmu tidak seharusnya berhenti sebagai pengetahuan. Amal tidak seharusnya bergerak tanpa panduan. Keduanya perlu bertemu pada neraca yang benar, agar lahir manusia yang seimbang, beradab dan bermanfaat.

No comments:

Post a Comment

Baca yang lain