Hikmah Jumaat Siri 34 | Mizan al-‘Amal
Kita semua mahu melakukan kebaikan. Namun, persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana kita melakukan sesuatu kebaikan itu dengan sebaik-baiknya? Ada orang bekerja sekadar menyiapkan tugas, mahu mendapatkan gaji, kerana mahu dipuji tetapi ada juga manusia yang melakukan sesuatu dengan penuh kesungguhan walaupun tiada siapa melihat dan tiada siapa memberikan penghargaan. Maka di situlah letaknya ihsan.
Ihsan bukan sekadar melakukan kebaikan. Ihsan ialah melakukan sesuatu dengan kesedaran bahawa Allah sentiasa melihat, mengetahui dan menilai setiap perbuatan kita. Allah SWT berfirman, “Dan infakkanlah (hartamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu jatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah. Sungguh, Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah: 195)
Ayat ini diakhiri dengan satu pernyataan yang sangat indah, “Sungguh, Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” Ia mengingatkan kita bahawa kebaikan bukan sekadar tuntutan agama. Kebaikan adalah jalan yang membawa kepada kecintaan Allah.
Apa Ertinya Ihsan? Rasulullah SAW bersabda, “Allah menetapkan ihsan dalam setiap perkara.” (Riwayat Muslim)
Hadis ini membawa satu prinsip yang sangat luas. Ihsan bukan hanya ketika kita beribadah. Ihsan juga dalam pekerjaan, pendidikan. Kepimpinan. ketika melayani keluarga, berkomunikasi, menggunakan media sosial juga ketika menjalankan amanah. Lebih mudah kita fahami, ihsan bukan satu aktiviti khusus. Ihsan ialah cara kita melakukan setiap aktiviti. Sebab itu seseorang boleh melakukan pekerjaan yang biasa tetapi melakukannya dengan luar biasa kerana adanya ihsan.
Seorang guru mengajar dengan ihsan, ibu mendidik dengan ihsan, pekerja melaksanakan amanah dengan ihsan, pemimpin membuat keputusan dengan ihsan dan sukarelawan berkhidmat dengan ihsan. Apabila ihsan menjadi budaya, kualiti kehidupan manusia turut berubah.
Mizan al-‘Amal bukanlah sekadar apa yang kita buat dan dalam kerangka ini, sesuatu amal tidak seharusnya dilihat hanya pada bentuk luaran. Neraca amal turut mempertimbangkan niat, tujuan, kesan sosial dan hubungan antara ilmu dengan amal. Maka, dua orang mungkin melakukan perkara yang sama tetapi nilai amalnya boleh berbeza. Dua orang memberi bantuan. Seorang memberi kerana mahu dipuji dan seorang lagi memberi kerana mahu mencari reda Allah.
Secara luaran, kedua-duanya kelihatan melakukan perkara yang sama. Tetapi yang berbeza ialah apa yang ada di dalam hati. Begitu juga dengan pekerjaan. Dua orang melakukan tugas yang sama. Seorang hanya mahu menyelesaikan kerja dan seorang lagi melihat tugas itu sebagai amanah dan peluang untuk memberi yang terbaik. Inilah perbezaan antara sekadar melakukan kerja dengan melakukan kerja secara ihsan.
Ihsan ketika tiada siapa melihat. Ini antara ukuran paling jelas bagi ihsan ialah apa yang berlaku apabila tiada siapa melihat. Jika kita hanya melakukan yang terbaik ketika diperhatikan ketua, itu mungkin kepatuhan kepada pengawasan. Tetapi jika kita tetap melakukan yang terbaik walaupun ketua tiada, itu menunjukkan adanya integriti dalaman. Jika kita hanya bercakap sopan apabila berada di hadapan orang, itu mungkin sekadar menjaga imej. Tetapi jika kita tetap menjaga tutur kata ketika bersendirian atau ketika berada di media sosial, itu menunjukkan nilai tersebut telah menjadi sebahagian daripada diri.
Sebab itu ihsan sangat rapat dengan kesedaran kepada Allah. Manusia mungkin tidak melihat. Tetapi Allah melihat. Manusia mungkin tidak mengetahui tetapi Allah mengetahui. Manusia mungkin tidak menghargai tetapi Allah tidak pernah mensia-siakan amal. Inilah yang membina kompas dalaman dalam diri seorang Mukmin, sebuah neraca yang membantu manusia menilai tindakannya walaupun tiada pengawasan luaran. Kerangka WADAH Selangor menggambarkan insan yang menghayati mizan sebagai manusia yang mempunyai kompas dalaman untuk menimbang antara keperluan dan nilai, kepentingan diri dan maslahat bersama.
Kita sering bercakap tentang profesionalisme. Kita mahu kerja dilakukan dengan cepat, mahu produktiviti meningkat, mahu organisasi mencapai sasaran. Semua itu penting dan inilah ihsan dalam budaya kerja. Tetapi ihsan mengajak kita bertanya satu soalan yang lebih besar, adakah kita hanya mengejar hasil, atau kita juga menjaga cara kita mencapai hasil tersebut? Kerja yang dilakukan dengan ihsan bukan hanya kerja yang siap. Ia kerja yang dilakukan dengan amanah. Tidak menipu, tidak mengambil kesempatan. Tidak mencuaikan tanggungjawab dan tidak memindahkan kesalahan kepada orang lain. Tidak menggunakan kelemahan orang untuk kepentingan diri. Tidak melakukan sesuatu hanya kerana ia boleh terlepas daripada pengawasan. Ihsan menjadikan seseorang bertanya, “Apakah cara terbaik untuk aku melaksanakan amanah ini?”. Bukan sekadar, “Apakah cara paling mudah untuk aku siapkan kerja ini?”. Perbezaan kecil pada soalan ini boleh menghasilkan perbezaan besar pada budaya sesebuah organisasi.
Pemimpin yang mempunyai ihsan tidak melihat manusia hanya sebagai angka, statistik atau tenaga kerja. Dia melihat manusia sebagai insan yang mempunyai maruah, keperluan dan potensi. Ihsan dalam kepimpinan bermaksud menggunakan kuasa dengan Amanah, mendengar sebelum menghukum, menilai sebelum membuat keputusan, memberikan peluang kepada orang lain, menghargai sumbangan, mengakui kesilapan dan tidak menggunakan kedudukan untuk kepentingan diri.
Masyarakat yang menghayati Mizan al-‘Amal pula tidak hanya mengejar kemajuan material. Ia berusaha membina masyarakat yang harmoni, adil dan berjiwa sosial, dengan tolong-menolong, kejujuran dan tanggungjawab bersama sebagai nilai kehidupan. Oleh sebab itu, ihsan menjadi lebih daripada sifat individu. Ia berubah menjadi budaya masyarakat.
Kadangkala kita terlalu fokus kepada ibadah sehingga terlupa bahawa cara kita melayan manusia juga merupakan sebahagian daripada agama. Bagaimana kita bercakap dengan pasangan, kita melayan anak-anak, bercakap dengan pekerja bawahan, melayan orang yang berbeza pandangan dengan kita dan bagaimana kita bertindak apabila seseorang melakukan kesilapan?
Ihsan mengajar kita untuk tidak menjadikan kelemahan manusia sebagai peluang untuk merendahkan mereka. Ia mengajar kita bahawa kita boleh menegur tanpa menghina. Kita boleh tidak bersetuju tanpa membenci, berbeza pandangan tanpa memutuskan ukhuwah dan boleh tegas tanpa kehilangan rahmah. Inilah keseimbangan yang sangat penting dalam Mizan al-‘Amal.
Ihsan juga perlu ada di media sosial apatah lagi dalam dunia digital hari ini, ihsan semakin penting. Sebelum berkongsi sesuatu, tanyakan, adakah ini benar? Sebelum memberi komen, tanyakan adakah ini perlu? Sebelum membalas kritikan, tanyakan adakah cara saya menjawab ini mencerminkan akhlak seorang Muslim? Kita mungkin tidak mengenali orang yang berada di sebalik skrin, tidak melihat kesan kata-kata kita kepada mereka. Tetapi satu ayat boleh menjadi sebab seseorang berasa dihina. Satu komen boleh menimbulkan permusuhan. Satu perkongsian yang tidak disemak boleh merosakkan reputasi seseorang.
Maka, ihsan dalam media sosial bermaksud menggunakan kebebasan kita dengan tanggungjawab. Bukan semua yang kita mampu lakukan perlu kita lakukan, bukan semua yang benar perlu disampaikan dengan cara yang kasar dan bukan semua perkara yang menarik perhatian membawa manfaat. Ihsan mengajar kita menimbang sebelum bertindak.
Ihsan tidak sepatutnya terhad kepada waktu bekerja. Jika seseorang hanya profesional di pejabat tetapi kasar di rumah, nilai itu belum benar-benar menjadi budaya hidup. Jika seseorang aktif berkhidmat kepada masyarakat tetapi mengabaikan keluarganya, keseimbangan masih belum tercapai. Jika seseorang kelihatan baik di hadapan orang tetapi melakukan sebaliknya apabila bersendirian, masih ada jurang antara nilai dan amal.
Mizan al-‘Amal mengajak manusia menjadi insan yang seimbang, tidak hanyut dalam urusan dunia sehingga melupakan akhirat dan tidak pula memisahkan ibadah daripada realiti kehidupan sosial. Sebab itu ihsan perlu dibawa ke mana-mana. Ihsan di masjid, di rumah, di tempat kerja, dalam organisasi, di jalan raya, di media sosial, ketika bersama orang yang kita sayang dan yang paling penting ketika tiada siapa melihat.
Ihsan akan melahirkan masyarakat yang dipercayai. Bayangkan sebuah masyarakat yang setiap anggotanya berusaha melakukan sesuatu dengan ihsan. Peniaga tidak menipu pelanggan. Pekerja melaksanakan amanah dengan jujur. Pemimpin menggunakan kuasa dengan bertanggungjawab. Guru mendidik dengan kesungguhan. Ibu bapa membesarkan anak dengan kasih sayang. Jiran mengambil berat terhadap jiran. Pengguna media sosial menjaga tutur kata dan dalam keadaan seperti ini, kepercayaan akan tumbuh. Kepercayaan merupakan salah satu asas penting kepada pembinaan masyarakat yang sihat.
Kerangka Mizan al-‘Amal dalam ucapan dasar WADAH Selangor menekankan pembentukan masyarakat yang harmoni, adil dan berjiwa sosial, masyarakat yang menjadikan tolong-menolong, kesamarataan peluang, kejujuran dan tanggungjawab bersama sebagai nilai. Maka, ihsan bermula daripada individu tetapi kesannya boleh membentuk masyarakat.
Muhasabah untuk kita, pada hari Jumaat ini, marilah kita bertanya kepada diri sendiri, adakah aku melakukan sesuatu kerana mahu dilihat, atau kerana Allah? Adakah aku memberikan yang terbaik walaupun tiada siapa menghargainya? Adakah aku menjaga amanah ketika tiada pengawasan? Adakah cara aku melayan manusia mencerminkan iman yang aku miliki? Adakah pekerjaan aku sekadar selesai, atau benar-benar memberi manfaat?
Soalan-soalan ini mungkin sederhana. Tetapi ia boleh menjadi cermin kepada hati kita kerana kadangkala persoalan terbesar bukanlah, “Berapa banyak amal yang telah aku lakukan?”. Tetapi “Bagaimanakah aku melakukan amal tersebut?”. WADAH Selangor menyeru agar ihsan dijadikan budaya kerja dan budaya hidup. Jadikan ihsan sebagai ukuran dalam melaksanakan Amanah, sebagai prinsip ketika membuat keputusan, sebagai akhlak ketika berinteraksi, sebagai panduan ketika menggunakan media sosial dan jadikan ihsan sebagai budaya dalam organisasi serta masyarakat kerana masyarakat yang baik bukan hanya memerlukan manusia yang berilmu.
Ia memerlukan manusia yang berilmu, beramal dan berakhlak dan masyarakat yang sejahtera bukan hanya dibina oleh sistem yang baik. Ia dibina oleh manusia yang mempunyai kompas dalaman, yang memilih kebaikan walaupun tiada siapa memerhati.
Berbuat baik kerana allah menyukai ihsan. Allah SWT berfirman, “Sungguh, Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah: 195)
Betapa indahnya apabila kita menyedari bahawa di sebalik setiap usaha melakukan kebaikan, terdapat satu matlamat yang jauh lebih besar daripada pujian manusia iaitu mencari kecintaan Allah. Kita mungkin tidak mendapat penghargaan, tidak disebut, tidak dipuji, namun, jika amal itu dilakukan dengan ikhlas, amanah dan ihsan, kita yakin bahawa Allah mengetahuinya. Inilah kekuatan Mizan al-‘Amal.
Ia mengajar kita bukan sekadar berbuat baik, tetapi berbuat baik dengan cara yang baik, niat yang baik dan kesan yang baik. Maka, marilah kita membina satu budaya hidup yang menjadikan ihsan sebagai kebiasaan. Bekerja, beribadah, memimpin, mendidik, berkawan, berbeza pandangan dan berkhidmat kepada masyarakat dengan ihsan kerana akhirnya, ihsan bukan sekadar sesuatu yang kita lakukan. Ihsan ialah siapa diri kita ketika kita memilih untuk melakukan yang terbaik kerana Allah



